Wednesday, January 1, 2014

Bunga Cengkih


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Salam dan Selawat ke atas Nabi Muhammad Rasulullah SAW
serta keluarga dan sahabat Baginda.


Di antara bahan makanan kegemaran saya ialah herba dan rempah, dan bunga cengkih adalah antara yang paling saya suka.


Bunga cengkih (Syzugium aromaticum) ialah putik bunga dari pokok cengkih. Pokok cengkih adalah agak tinggi dan tumbuh di kawasan tropika dan subtropika. Ianya lazim digunakan dalam masakan kerana aromanya yang mengharumkan makanan baik yang berbentuk gulai maupun manisan seperti pencuci mulut. 

Bahan yang membuatkan bunga cengkih ini berbau harum dikenali sebagai eugenol. Bahan ini juga yang menjadikan rempah ini mempunyai nilai perubatan dan menjadikannya suatu penawar alternatif kepada ubat-ubatan kimia untuk masalah tertentu.


Di antaranya ialah mengelakkan darah dari membeku (blood clotting) dan melancarkan pengaliran darah. 

Di bawah ini disenaraikan masalah-masalah dan penyakit-penyakit yang dapat dirawat atau dikurangkan dengan penggunaan minyak pati bunga cengkih:

Masalah mulut, gigi dan gusi: kegunaan bunga cengkih atau minyaknya yang paling diketahui adalah untuk rawatan radang gusi, gigi berlubang, ulser mulut dan nafas berbau. Unsur pembasmi kuman menjadikan minyak ini baik untuk melegakan sakit gigi. Tetapi awas, jangan guna tanpa nasihat pakar kerana minyak bunga cengkih tulin adalah panas dan boleh "membakar" tisu mulut yang lembut.

Jangkitan: minyak bunga cengkih mengandungi bahan antiseptik dan antikulat oleh itu ia digunakan untuk merawat luka-luka, kudis, ketumbit di mata dan jangkitan-jangkitan pada kulit.

Keradangan: Bunga cengkih mengandungi flavanoid iaitu bahan anti-radang. Oleh itu ianya boleh digunakan untuk melegakan kesakitan dan stress yang akibat dari keradangan di kepala, sendi, tulang, kulit dan sebagainya. 

Respiratori: bahan eugenol yang wangi dan mempunyai kadar meruap yang tinggi berkesan melegakan gangguan pada tekak dan paru-paru yang menyebabkan batuk, selsema, radang, sakit dan semput. Juga membantu melegakan masalah bersin dan hidung berair akibat dari resedung.

Perut dan penghadaman: mengeluarkan angin, sedu, makanan tidak hadam, loya dan mabuk. Sekali lagi, eugenol iaitu bahan yang membuatkan bunga cengkih itu wangi yang memberi kesan terhadap masalah-masalah perut dan angin. 

Minyak bunga cengkih adalah salah satu minyak pati yang boleh digunakan oleh ibu mengandung. Baunya yang segar dan tajam membantu dalam masalah morning sickness, loya dan muntah-muntah yang dialami oleh ibu yang hamil.

Darah: Eugenol bahan terpenting dalam bunga cengkih membersihkan dan mencairkan darah. Ini sangat penting kerana pengaliran darah yang bersih dan beroksigen tinggi sangat diperlukan untuk sel, tisu, organ dan seterusnya sistem tubuh berfungsi dengan optimum.

Bagi mereka yang menghidap kencing manis sering menghadapi masalah saraf dan pengaliran darah yang kurang lancar. Akibatnya mereka kehilangan keupayaan dalam otot-otot, merasa kebas dan lenguh seluruh tubuh badan.

Kajian-kajian menunjukan mekanisma tindakbalas insulin postpandrial dan glukos adalah lebih terkawal selia dengan adanya usur bunga cengkih dalam sistem tubuh. 



Cara yang paling mudah mengguna bunga cengkih untuk mendapatkan khasiatnya ialah dengan meletakkan beberapa kuntum dalam air atau teh yang panas, tutup dan dibiarkan seketika sehingga air/teh menjadi suam. Minum setiap hari. 

Bunga cengkih yang dikeringkan juga boleh dikunyah sehingga hancur lumat supaya minyaknya dihasilkan, tetapi jangan dilakukan setiap hari. Tiga kuntum sekali makan untuk dua kali seminggu sudah memadai.

P.S. Minyak bunga cengkih tulin adalah panas dan boleh "membakar" kulit atau tisu yang nipis. Jangan guna terus pada kulit atau dalam mulut. Dapatkan nasihat dari pakar untuk cara menggunakan minyak bunga cengkih.




Sistem An Nisaa
Dr. Aniza Zain Ahmed (MD)(Alt. Med.)

Seksyen 4 Kota Damansara 47810 Petaling Jaya   
016-289 1579 / 013- 62 60 369 
(Whatsapp/SMS sahaja)
sistemannisaa@gmail.com  


Sistem rawatan lengkap, integratif & Islamik:

Ayat Quran * Terapi Mandian * Bekam Sunnah* Makanan Sunnah *
* Urut Tradisional Melayu *




1 comment: