Friday, November 2, 2012

Antara Keimanan dan Kemodenan


Salah satu agenda penting pada awal pagi Juma'at ialah mendengar program TV "live" tentang hal-hal agama dan hari ini saya agak teruja juga kerana penceramahnya agak terkenal. Beliau seorang doktor perubatan dan ahli akademik yang banyak menerapkan unsur-unsur keIslaman dalam kajiannya. Beliau juga telah menulis beberapa buah buku tentang Perubatan Islam dan sudah tentu saya memberi perhatian penuh untuk mendengar hujah-hujah dan keterangannya.

Namun alangkah terkejut dan kecewanya saya bila beliau melabelkan "perubatan moden" sebagai Perubatan Islam semata-mata kerana  mendiagnos pesakit dilakukan oleh kedua-dua kaedah perubatan, maka kata beliau, ada persamaannya. Saya tersangat keliru dengan statement tersebut dan tidak senang hati dibuatnya.


Dari definasinya lagi, perkataan "moden" itu yang bermaksud "pertaining to a current time and style" sudah tidak menepati ciri-ciri Perubatan Islam. Islam, agamanya dan ilmu perubatannya adalah "pertaining to all time", dari zaman Nabi Adam a.s. sehinggalah hingga ke hari Kiamat nanti. Kehebatannya, relevannya dan applikasinya menjangkau terlalu jauh dari "perubatan moden" dan tidak mungkin dapat dibandingkan.

Perubatan "moden" lebih banyak ke arah merawat penyakit atau masalah yang mana sel, tisu atau saraf dalam tubuh sudah rosak atau sebenarnya sekadar menghilangkan atau menenggelamkan simtom-simtom penyakit. Manakala Perubatan Islam lebih menekan kepada pencegahan penyakit dan masalah. Ini adalah kerana Perubatan Islam bermula dari tahap spiritual manusia, roh manusia yang menguasai segala yang berlaku dan akan berlaku kepada kita.

Sihat di tahap spiritual maka sihatlah dari segi fizikal dan juga emosi dan mental. Solat, puasa, sedekah, zikir dan lain-lain ibadah semuanya merupakan penawar kepada rohani kita yang mempengaruhi keadaan manusia pada setiap tahap. Solat tahajjud telah disahkan dapat meningkatkan sistem immune manusia dalam satu kajian yang telah dibuat. Setiap pergerakan dalam solat ada fungsi dan menafaatnyanya pada otot-otot, saraf, tulang atau organ-organ dalam tubuh. Ramai yang sudah mengetahui bahawa sujud itu banyak kesannya pada tubuh, hakikatnya berdiri tegak sebelum mengangkat takbir pun sudah ada yang berlaku pada sistem tubuh. 

Pemakanan dan cara hidup iaitu cara solat, cara mengambil wudhu', cara tidur, cara berjimak dan lain-lain juga penting untuk menentukan kesihatan level spiritual kita. Ikut sahaja semua amalan-amalan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, insyAllah hidup kita akan sentiasa tenang, ceria, selamat dan penuh kesyukuran walaupun datang ujian, musibah dan sebagainya.

Perubatan yang dikatakan "moden" langsung tidak mengambilkira kepentingan spiritual dan kewujudan alam ghaib. Bagaimana ianya boleh dikatakan Perubatan Islam? Ia mengutamakan dan menerima hanya ilmu "evidence-based", bagaimana perkara-perkara ghaib boleh dibuktikan? Hakikatnya alam ghaib dan energinya sangat mempengaruhi manusia dan keadaannya dan merupakan faktor utama yang perlu dijaga dan didiagnos dan dirawat ketika ada penyakit. 
Ibn Sina - klik di namanya untuk melihat betapa banyaknya sumbangan
beliau di dalam alam perubatan. 


Tetapi Allah swt telah berfirman yang ada perkara-perkara yang tidak boleh diketahui manusia, dan ada perkara-perkara yang hanya akan diketahui oleh orang-orang tertentu sahaja mengikut pilihan dan kebijaksanaanNya. Orang-orang bertuah yang mendapat ilmu laduni ini adalah digolongkan dalam orang-orang yang betul-betul beriman, betul-betul yakin, ikhlas dan ingin mendekati dirinya kepada Penciptanya kerana mereka tahu segala rahsia dan ilmu adalah dalam pengetahuan dan kuasa Allah swt.

Saya tidak akan lupa kata-kata seorang profesor dari Universiti Sains Malaysia yang telah diberi hidayah daripada Allah swt dan sedang membuat banyak kajian tentang penggunaan madu sebagai ubat iaitu, "To me, being mentioned in the Quran and by our Prophet Rasulullah saw, is already evidence based." Itulah juga kata-kata yang tepat yang bermain-main di dalam kepala saya ketika itu.

Lain pula dengan kebanyakan penyelidik dan pengkaji perubatan "moden" terutamanya dari Barat di mana kebanyakan mereka terdiri dari polytheists atau atheists. Tiada langsung unsur atau pertimbangan spiritual atau ketuhanan di dalam hati dan otak mereka. Ada juga doktor-doktor perubatan "moden" (yang beragama Islam pula tu) yang mengetawakan dan melekehkan kaedah Perubatan Islam seperti amalan makan madu dan berbekam. Patutkah kita samakan dua kaedah perubatan ini?

Niat pula untuk mendapat keuntungan semata-mata. Saya baru sahaja bertemu dengan seorang yang pada ketika itu hampir-hampir ditauliahkan seorang doktor perubatan "moden" dan beliau telah meluahkan perasaan kecewanya kerana menurut penelitian beliau, kebanyakan ubat-ubatan kimia yang dihasilkan sekarang tidak menyembuhkan penyakit-penyakit tetapi cuma setakat mengawalnya sahaja, oleh itu ubat-ubatan tersebut perlu diambil sepanjang hayat supaya jualan (dan keuntungan) adalah berterusan. Ubat-ubatan ini pula sangat mudah dan cepat diberi kepada pesakit walaupun keadaan mereka masih "borderline" dan pencegahan masih boleh diusahakan.
Buku  Canon of Medicine tulisan Ibn Sina. Klik untuk melihat pakar-pakar
perubatan Islam yang lain.


Ubat-ubatan kimia sangat sukar diserap oleh tubuh dan boleh meninggalkan deposit yang menjadi toksin pada darah, hati dan buah pinggang. Banyak jenis ubat mengandungi unsur-unsur haram, adakah ini "syariah compliant" dan dibolehkan dilabel sebagai Perubatan Islam? Adakah "tiada alternatif lain" boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan ubat-ubatan yang mengandungi unsur khinzir? 

Manakala makanan yang juga merupakan penawar-penawar hebat seperti minyak zaitun, madu, habbatus sauda dan buah delima adalah diciptakan untuk manusia dan adalah sebahagian dari manusia itu sendiri. Khasiatnya mudah diserap sel sehingga tahap DNA dan menjadi penawar kepada tahap spiritual manusia. Ini bermakna makanan Quran mampu merawat masalah rohani seperti "behavorial disorders".

Buku "Medicine of the Prophet" ini dan buku
bertajuk "zadul Ma'ad" adalah dua buku termasyhur
Ibn Qayyim a--Jawziyya
Makanan seperti buah delima adalah buah dari syurga, tidakkah kita mendambarkan sesuatu dari syurga berada di dalam sistem tubuh kita walaupun  kita masih berada di dunia? Kehebatan bahan yang dikenali sebagai Ellagic Acid dalam  buah delima dan kemampuannya untuk membaikpulih sel telah dikaji dan dibuktikan oleh sebuah universiti di Amerika tetapi kajian seperti ini tidak diheboh-hebohkan kerana pengusaha-pengusaha produk farmaseutikal hanya mementingkan dan mahukan produk-produk yang boleh dipatenkan.



Bolehkah penawar ciptaan Allah swt Yang Maha Hebat dibandingkan dengan ubat ciptaan manusia yang amat terbatas ilmu dan kebijaksanaannya? Mungkin persepsi orang ramai terhadap Perubatan Islam itu kaedah dan penawarnya seperti terlalu mudah, sempoi, tidak lengkap, tidak mencukupi, tidak canggih, tidak saintifik, kolot dan ketinggalan zaman. Tidak mengapa, cuma saya berdoa' dan berharap persepsi orang Islam terhadap Allah swt, al-Quran dan Hadith tidak begitu.  Hakikatnya disebalik setiap kaedah dan penawar terdapat teknologi yang paling tinggi sehingga tidak mungkin dapat difahami, diterima dan dirungkai oleh orang-orang yang tidak mendapat Ar-Rahimi. 

Saya bukan menentang keseluruhan kaedah perubatan "moden" ini. Banyak kaedah rawatan "moden" telah menyelamatkan nyawa manusia. Saya cuma tidak bersetuju jika ianya disamakan dengan Perubatan Islam. Ilmu Perubatan Islam adalah yang haq, yang superior, yang unggul, yang datangnya dari Pencipta manusia itu sendiri, yang Maha Mengetahui apa dan cara yang terbaik untuk menjaga dan merawat tubuh manusia, dan dibawa dan diajar oleh kekasihNya, Rasulullah SAW yang maksum, bersih dan suci. Jika dikaji, diamati, diteliti, dicintai dan diyakini, skopnya amat luas sekali, kemujaraban dan teknologinya menjangkau jauh dari batasan kemampuan dan pengharapan yang datang dari pemikiran akal lojik.

Jika kita mengaku beriman hanya kepadaNya, 

kenapa kita tidak mewajibkan ke atas diri kita 

sendiri sistem perubatanNya?






Sistem An Nisaa
Dr. Aniza Zain Ahmed (MD)(Alt. Med.)

 Seksyen 4 Kota Damansara 47810 Petaling Jaya   
016-289 1579 / 013- 62 60 369   

Sistem rawatan lengkap, integratif & Islamik:
Ayat Quran * Terapi Mandian * Bekam Sunnah* Makanan Sunnah *
* Urut Traddsional Melayu *


No comments:

Post a Comment